04 May 2012

Sedar atau Tidak?


Salam ukhuwah fillah.

Alhamdulillah, dengan limpah dan kurniaNya, diizinkan jua olehNya untuk ana mengisi ruangan yang telah ditinggalkan terlalu lama. Bukan kerana malas, tetapi kesibukan yang melampau. Maklumlah, menjadi pelajar bukannya mudah. Lebih-lebih lagi yang menetap di asrama macam ana.

Apabila diperkatakan tentang ketibaan imtihan, sesetengah malahan hampir semua pelajar akan merungut. Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan keluhan. Memang. Memang berat rasanya apabila ditimpa imtihan. Ana sendiri turut mengalaminya. Insyaallah, pada kesempatan ini ana akan berkongsi sedikit tentang suatu tabiat atau fi’il yang biasa dilakukan oleh sesetengah pelajar ketika menghadapi peperiksaan tanpa memikirkan musibahnya bersempena dengan bulan peperiksaan pada kali ini.

في الامتحان حرام  الغش

Ertinya : “Menipu di dalam peperiksaan adalah haram.”

“Kami tidak meniru, kami berbincang…..”
“Kami tidak meniru, kami bertanya…….”

Yang ingin diperkatakan dalam kenyataan itu bukan hanya isu meniru semata. Dalam ungkapan itu sebenarnya mempunyai maksud yang tersirat. Jika kita perhatikan, perkataan  الغش itu sendiri yang membawa maksud khianat atau menipu. Ya, pengkhianatan pada suatu amanah yang telah diberikan. Penipuan yang bakal mengundang kemurkaan Yang Maha Agung. Tidak kiralah apa jua bentuk penipuan sama ada perbincangan ataupun pertanyaan yang dapat menghasilkan sebuah jawapan yang bukan datang dari buah fikiran sendiri, ia tetap dikira menipu dan hukumnya HARAM. Tiada istilah ‘musyawarah’ ketika imtihan sedang berlangsung.

Sabda Rasulullahi Sallallahu ‘alaihi wasallam:

“Barangsiapa yang menipu ,
maka dia bukanlah dari golongan kami.”
(H.R Imam Bukhari)

Yang HARAM itu tetap HARAM dan yang DOSA itu tetap DOSA meskipun jalannya terselit sedikit kebaikan.
Teringat ana pada kata-kata seorang murabbi ;

Cuba antum bayangkan dengan keputusan antum yang ‘cemerlang’ hasil daripada jawapan yang datang bukan dari antum itu, antum gunakan untuk mencari pekerjaan. Adakah antum fikir hasilnya itu halal buat antum sekalian? Fikir-fikirkanlah dan muhasabah diri….”

Yang menyedihkan ana, terdapat segelintir pelajar yang tergamak membawa bahan ‘toyol’ mereka ke dalam tandas. Sudahlah meniru, dibawanya pula ilmu itu ke tandas. Lebih teruk lagi apabila ‘toyol-toyol’ mereka itu mengandungi kalam-kalam suci dari Ilahi dan sabda-sabda Baginda yang di sanjung tinggi dibawa ke tempat yang kotor lagi hina. Malahan ada yang selamba membawa atau menyorokkan Kalamullah itu di bawah-bawah sinki dan celahan pam tandas. Kepercayaan apa yang mereka imani? Luaran Islam, tapi sanggup mempersendakan agamanya sendiri.

Ingatlah, tidak mendatangkan sedikit keuntungan pun jika kalian berterusan bersikap begini. Ana menulis tentang isu ini pun bukan bermakna ana tidak pernah meniru. Tapi ana masih berpendapat bahawa masih belum terlambat untuk ana mengubah tabiat ini. Ana berazam pada imtihan kali ini untuk tidak memohon syafaat daripada sahabat-sahabat seperjungan ataupun ‘toyol-toyol’ sebelum memohon syafaat daripada guru-guru.

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ
 لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh(mu), kerana sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang
menyala-nyala.”
 (Fatir:6).


“Syaitan akan menguasai kamu apabila kamu berada dalam 3 keadaan: ketika marah, ketika nafsu memuncak dan ketika lalai. Jagalah diri kalian daripada dikuasai oleh syaitan. Mudah-mudahan kamu dirahmati Allah swt.

Insyaallah. Amin. Sekian, wassalam.
 ______________________________________________________________________________
p/s: Bertindaklah sebagai insan yang dikurniakan fikiran, jangan bertindak mengikut hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan laknatullahi ‘alaik. Mudah-mudahan sedikit sebanyak entri ini dapat menyedarkan diri ana dan para pembaca.

27 January 2012

Usrah Sakinah

Salam ukhuwah fillah.


Menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar. Banyak perkara yang perlu diselesaikan dalam cuti seminggu. Namun, syukur ke hadrat Ilahikerana masih memberikan daku sedikit masa untuk berkongsi sebuah taujihat ataupun peringatan yang diharapkan boleh dikongsikan bersama dan diguna pakai dalam menjalani kehidupan seharian kita. Insyaallah.


Seterusnya, melihat isu-isu zaman yang serba moden ini kita perlu berwaspada dengan ancaman luar seperti media barat, dunia IT dan sebagainya yang boleh merosakkan keimanan dan melonggarkan tauhid kita kepada Allah subhanahu wa taala. Cuba kita fikirkan jika negara ini tidak mengamalkan dan tidak berpegang teguh dan utuh pada prinsip-prinsip Islam yang telah disediakan oleh Baginda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Tidak mustahil negara kita akan menjadi seperti negara-negara yang tiada pedoman di luar sana. Dengan kes-kes moralnya seperti zina berleluasa, rompakan yang semakin menjadi-jadi, keganasan Si Kaya terhadap Si Miskin. Sesungguhnya ini semua merupakan amalan Jahiliyyah yang sangat dibenci Rasulullah sallallahu alaihi wasallam dan dimurkai Allah subhanahu wa taala.


Firman Allah subhanahu wa taala:


"Demi sesungguhnya adalah bagi penduduk Saba' sebagai satu tanda(yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka iaitu dua buah kebun(yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri(qariah mereka)." (Lalu dikatakan kepada mereka): "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhanmu dan bersyukurlah kepadaNya. Negeri kamu ini adalah negeri yang baik
(aman dan makmur), dan Tuhanmu adalah 
Tuhan yang Maha Pengampun."

Surah Saba':15

Untuk mencapai tahap sesebuah negara yang dikatakan " Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur," ianya mestilah bermula daripada keadaan kelompok sesebuah usrah ataupun keluarga yang berjaya. Yang dimaksudkan sebagai berjaya itu, bukanlah dilihat dari sudut kebendaan semata-mata, tetapi ianya turut dinilai melalui aspek kerohaninya, jasmaninya serta amalan yang diredhai Allah subhanahu wa taala iaitu amalan yang berlandaskan hukum-hukum Islam. Ini tidak bermaksud harta kebendaan itu tidak penting, akan tetapi Islam meletakkan kepentingan pada agama disusuli dengan harta benda. 

Yang dikatakan " Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghofur," itu ialah negara yang berpegang teguh dan utuh pada konsep hukum-hukum Islam. Alhamdulillah, jika dilihat negara ini masih mengamalkan sistem perundangan Islam. Walaupun ianya tidak menyeluruh, tetapi ianya perlu terus diperbaiki supaya menjadikan ianya menyeluruh. Biar sedikit, makin lama makin bertambah. 

Berhubungan dengan hukum Hudud, ada yang mengkritik entri saya sebelum ini mengenai hukum ini. Mungkin kalian kurang memahami entri tersebut. Saya memohon kemaafan diatas kekurangan. Untuk pengetahuan, hukum Hudud perlu dan wajib dilaksanakan. Tetapi ianya memerlukan masa untuk difahami oleh masyarakat. Sebelum ini saya pernah menulis entri mengenai hukum Islam ini.  Tujuan saya yang utama bukan untuk mengkritik semata, tetapi saya ingin memberikan kefahaman. Tiada niat untuk menundukkan sesiapa baik yang kuning mahupun yang merah. Semuanya sama.

Berbalik pada isu Hudud yang digembar-gemburkan, masyarakat perlu diberi kefahaman yang sebetulnya. Masakan orang yang tidak mengetahui apa-apa mengenai Hudud, kita nak terus hukum. Umpama seorang pelajar yang menduduki peperiksaan. Sedangkan dia tidak mempelajari topik yang diuji. Dapat keputusan, terus nak hukum sebab gagal. Tidak adil namanya tu. Tapi ingin saya tekankan juga, hukum Hudud ini jangan diperlekehkan. Dan jangan dipermainkan. kelak menunggu kalian atas perbuatan kalian yang menghina hukumNya.

Hanya sekadar ini sahaja perkongsian kali ini. Harap apa yang salah, cepat-cepat beritahu. Terima kasih kepada yang mengkritik. Mudah-mudahan entri ini dapat meningkatkan kefahaman. Sekali lagi mohon maaf di atas kekurangan. Yang baik itu dari Allah, sesungguhnya diriku ini hanya sentiasa melakukan kesilapan. Mudahan Allah mengampuniku dan kalian. Wassalam.










30 December 2011

Tentukan Hala Tuju Anda


Salam uhuwah fillah.

Selamat Tahun Baru kepada pembaca blog ini. Alhamdulillah dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan keizinan untuk mengupdate entri untuk yang terakhir kalinya buat tahun 2011.

Bertemakan konsep tahun baru, rakyat Malaysia mengetahui bahawa sambutan tahun baru di negara ini antara yang “TERgrand” dan yang “TERover” mengalahkan sambutan tahun baru di negara-negara bukan Islam. Mengapa ini semua terjadi? Siapa yang harus dipersalahkan? Tepuk dada anda, dan tanya pula iman anda. Mudah-mudahan segala jawapannya dapat diketahui. Namun, entri kali ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa. Apatah lagi ingin menghukum dan menjatuhkan si fulan.

Mana hala tuju anda untuk malam tahun baru ini?







Adakah anda bakal menghadiri konsert-konsert di atas?

Ataupun anda hanya berdiam diri sahaja di rumah untuk menonton cerita-cerita ini?













Ataupun anda bakal menghadiri program-program pembentukan dan peningkatan sahsiah diri sebagai contoh di bawah ini?








Apa-apa pun, marilah sama-sama kita koreksi diri sempena Tahun Baru yang bakal tiba beberapa jam dari sekarang. Pilihlah mana hala tuju anda. Menghadiri konsert yang melampau, berdiam diri di rumah, ataupun menghadiri majlis-majlis ilmu yang turut dihadiri oleh beribu-ribu para malaikat.


Takbir!!! Allahuakbar.